Friday 28 May 2010

Mana satu ya?

Salam persaudaraan

Lewat keraian Hari Guru yang disambut dunia tempatan, ingin aku sampaikan salam yang penuh azam untuk semua rakan- rakan pendidik.
Beberapa hari yang lalu, satu insiden telah menjentik kotak fikiranku untuk menulis tentang tiga perkara. Mereka selalu datang silih berganti di dalam hidup kita saban waktu, untuk menguji kekentalan dan kematangan sebagai insan yang hidup dalam masyarakat majmuk serba kompleks. Atau sekiranya wajar ku katakan dengan lebih terperinci, di dalam ranjau kembara seorang hamba yang mengharap redha TuhanNya.

 Lalu tanpa sedar terwujud kaitan antara insiden itu dan perananku sebagai seorang pendidik kepada anak- anak didikku.

Sesungguhnya pelajar cemerlang, secara amnya lebih mudah dipandu dan ditunjuk ajar berbanding pelajar berprestasi rendah, atau lebih malang, pelajar bermasalah. Tiga perkara yang berkait rapat dengan kelompok kedua dan ketiga tersebut adalah menghukum, memaafkan, dan merubah.

Menghukum memang gampang dilaksanakan, namun impaknya hanya bagi kadar sementara dan tidak terlalu efisien. Menjatuhkan hukuman kepada murid- murid, sebagai contoh mencubit atau memarahi, dan berdiri sepanjang kelas merupakan antara kaedah ringkas jika murid berkenaan tidak melengkapkan sebarang tugasn yang diberikan.

Memaafkan pula memaparkan imej mulia seorang guru, yang mempraktikkan modal insan yang terpuji. Namun apabila sikap ini disalahtafsir dan disalahpraktikkan, seorang guru yang pemaaf akan dilihat sebagai guru yang tidak ambil endah. Sikap pemaaf ini bakal memusnahkan para murid jika setiap kesalahan mereka dimaafkan oleh guru.

Manakala hal ketiga berkaitan dengan kuasa di tangan guru, yang jarang- jarang mampu diguna pakai secara efektif atau dimanfaat seoptimum mungkin. Ini kerana mengubah, atau dalam kata lain menjadi ejen perubahan bagi para murid adalah proses yang menuntut masa, kesabaran, kepakaran dan terutamanya kerjasama dari pihak murid sendiri.

 Alangkah bagus jika aku mampu menjadi pendorong kepada murid- muridku ke arah prestasi yang cemerlang dilengkapi sahsiah dan tingkah laku serba molek. Apabila direnung- renungkan, secara teknikal dan juga teori: anak- anak yang cemerlang lahir berkat usaha dan azam guru- guru yang tidak kurang cemerlang. Mungkin hasil tuaiannya tidak dapat dilihat di akhir tahun atau ketika mereka mengambil keputusan peperiksaan, tetapi tidak keterlaluan jika akku katakan menjadi impian aku sebagai guru untuk menyaksikan kejayaan mereka bukan hanya dalam bidang akademik, tetapi juga sebagai khalifah dan ahli masyarakat yang sedar akan tanggungjawab mereka. Semoga sepanjang perjalanan bergelar pendidik ini mengizinkan aku untuk menyampaikan walau hanya setitis ilmu buat azimat yang bisa mengubah nasib anak- anak muridku. Amin.

0 comments:

Post a Comment